30 maut timbunan sampah runtuh hempap rumah di Guinea
CONAKRY – Sekurang-kurangnya 30 orang maut selepas timbunan sampah di sebuah tapak pelupusan di ibu negara Guinea, runtuh dan menghempap rumah berhampiran akibat hujan lebat.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi (waktu tempatan) di kawasan Dar-es-Salam, daerah Bbessia, menurut kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerajaan.
Enam lagi mangsa dilaporkan cedera parah dalam tragedi itu, manakala operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih tertimbus.
“Sejumlah besar anggota penyelamat dan tenaga bantuan telah dikerahkan bagi mencari mangsa yang mungkin masih tertimbus, menyelamatkan mangsa serta mengeluarkan mayat,” menurut kenyataan berkenaan.
Perdana Menteri Guinea, Amadou Oury Bah, turut meninjau lokasi kejadian ketika operasi menyelamat berlangsung.
Kerajaan turut mengarahkan supaya mangsa yang cedera diberikan rawatan perubatan, selain menyediakan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat tragedi berkenaan.
Sebelum jumlah rasmi mangsa diumumkan, ketua penduduk setempat, Lancine Sylla, bimbang angka korban mungkin lebih tinggi.
“Kami telah mengeluarkan 18 mayat yang dibawa ke bilik mayat,” katanya.
Sementara itu, tokoh pembangkang utama Guinea dan bekas Perdana Menteri, Cellou Dalein Diallo, yang kini berada dalam buangan, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang mengejutkan.
Beliau berkata kejadian tersebut lebih membimbangkan kerana tapak pelupusan berkenaan dijadualkan ditutup pada Ahad, 23 Ogos.
Dalam beberapa hari sebelum kejadian, kerajaan sudah mengarahkan penduduk yang tinggal berhampiran tapak berkenaan berpindah berikutan kebimbangan terhadap risiko runtuhan.
Guinea kini dipimpin Jeneral Mamadi Doumbouya yang mengambil alih kuasa menerusi rampasan kuasa pada 2021 sebelum dipilih sebagai presiden pada Disember 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








