BERITA SEMASA

Bumbung makmal tingkat tiga SMK Juasseh runtuh

KUALA PILAH – Bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juasseh di sini runtuh tengah hari tadi, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.08 tengah hari.

Menurutnya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah bersama sebuah jentera LFRT tiba di lokasi pada pukul 12.19 tengah hari, kira-kira 10 kilometer dari balai berkenaan.

“Komander Operasi, PBK I Mohd Idham Mohd Rodzi berkata, pemeriksaan awal mendapati berlaku runtuhan pada bahagian bumbung bangunan sekolah di tingkat tiga yang menempatkan makmal.

“Runtuhan itu tidak melibatkan sebarang mangsa dan keadaan di lokasi dipantau oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pasukan bomba turut mengesan kewujudan bahan kimia di dalam bangunan berkenaan yang masih belum dikenal pasti.

Susulan itu, pasukan Hazmat dari BBP Seremban 2 digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan memastikan keadaan selamat.

PGO berkata, pengosongan bangunan turut dilakukan sebagai langkah keselamatan sementara pemeriksaan lanjut dijalankan.

Seramai tujuh anggota Hazmat dari BBP Seremban 2 bersama sebuah lori Hicom dan sebuah Rapid Response Vehicle (RRV) turut dikerahkan bagi membantu operasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button