10 dikhuatiri maut dalam insiden runtuhan kuari di Indonesia
CIREBON– Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala beberapa lagi dilaporkan masih hilang selepas sebuah kuari batu di kawasan Gunung Kuda, Cirebon, Jawa Barat, runtuh, awal pagi semalam.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB), operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan batu dan tanah.
“Sekurang-kurangnya tiga jentera pengorek turut tertimbus dan usaha menyelamat akan diteruskan sepanjang Sabtu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cirebon, Sumarni, memaklumkan bahawa 12 orang yang cedera telah berjaya dikeluarkan dari runtuhan.
“Anggota polis, tentera, pasukan kecemasan serta sukarelawan sedang giat menjalankan operasi menyelamat.
“Namun, keadaan tanah yang tidak stabil menyukarkan usaha tersebut dan berisiko menyebabkan runtuhan susulan,” katanya memetik laporan media tempatan.
Pihak berkuasa turut memanggil pemilik kuari serta beberapa pekerja untuk membantu siasatan berhubung punca kejadian.
Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, dalam satu kenyataan di media sosial miliknya menegaskan bahawa lokasi kuari tersebut sememangnya berbahaya dan tidak mempunyai sistem keselamatan yang memadai untuk pekerja.
“Tempat ini sangat berbahaya. Ia tidak memenuhi piawaian keselamatan. Kuari ini dibuka sebelum saya menjadi gabenor dan saya tidak mempunyai kuasa untuk menutupnya ketika itu,” katanya.
Susulan insiden itu, beliau mengumumkan penutupan serta-merta kuari Gunung Kuda bersama empat lagi lombong lain di sekitar Jawa Barat yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Menerusi rakaman yang tular di media sosial, pasukan penyelamat dilihat bergelut mengeluarkan mayat dari timbunan batu manakala orang awam kelihatan lari menyelamatkan diri ketika debu tebal menyelubungi kawasan sejurus runtuhan berlaku.
Fenomena perlombongan haram bukan perkara baharu di Indonesia, malah ia menjadi sumber pendapatan utama bagi ramai pekerja berupah rendah.
Namun, aktiviti itu sering melibatkan risiko tinggi seperti tanah runtuh, banjir kilat dan keruntuhan terowong.
Mei ini, hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh dan banjir berhampiran sebuah lombong milik penduduk tempatan di Pergunungan Arfak, Papua Barat, yang meragut enam nyawa.
Tahun lalu, seramai 15 terbunuh dalam insiden runtuhan di sebuah lombong emas haram di Sumatera selepas hujan lebat melanda kawasan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








