LUAR NEGARA

Kerajaan Indonesia digesa tarik balik tentera pengaman jika tiada jaminan keselamatan

JAKARTA – Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) menggesa kerajaan Indonesia mempertimbangkan penarikan balik pasukan pengaman dari Lubnan susulan kematian tiga anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) berhampiran ibu pejabat Pasukan Interim Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), baru-baru ini.

Speaker MPR, Ahmad Muzani berkata, langkah membawa pulang pasukan itu wajar dipertimbangkan sekiranya tiada jaminan keselamatan diberikan kepada anggota pengaman negara.

“Sekiranya tiada jaminan keselamatan terhadap misi pasukan kita, MPR meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menarik balik semua anggota dari Lubnan,” katanya memetik laporan ANTARA.

Tegas beliau, penarikan balik pasukan itu adalah selaras dengan mandat Perlembagaan Republik Indonesia 1945 yang mewajibkan negara melindungi semua warganya.

“Mengikut perlembagaan, Indonesia mesti menarik balik pasukannya kerana kawasan itu membahayakan keselamatan anggota TNI seperti yang berlaku di selatan Lubnan,” katanya.

Dalam pada itu, MPR turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan siasatan serta mengenakan sekatan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

MPR turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam atas kematian wira-wira negara yang terkorban ketika menjalankan tugas antarabangsa.

Terdahulu, Prebet Kanan Farizal Rhomadhon yang juga anggota pasukan UNIFIL terbunuh akibat tembakan artileri berhampiran kedudukan kontinjen Indonesia di Adchit Al Qusayr, selatan Lubnan pada 29 Mac lalu.

Serangan itu turut mencederakan tiga anggota lain iaitu Prebet Kanan Rico Pramudia, Prebet Kanan Bayu Prakoso dan Prebet Kanan Arif Kurniawan.

Keesokannya, PBB melaporkan dua lagi anggota pengaman Indonesia terbunuh dalam serangan ke atas konvoi logistik berhampiran Bani Hayyan di selatan Lubnan.

Dua anggota yang terkorban dikenali sebagai Kapten (Inf) Zulmi Aditya Iskandar dan Sarjan Satu Muhammad Nur Ichwan, manakala dua lagi yang cedera ialah Leftenan Pertama Sulthan Wirdean Maulana dan Prebet Kanan Deni Rianto.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button