BERITA SEMASA

Malaysia tolak istilah Ambalat bagi Blok ND6, ND7 di Laut Sulawesi

KUALA LUMPUR – Malaysia menolak penggunaan istilah ‘Ambalat’ oleh Indonesia bagi merujuk Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi yang menjadi kawasan pertikaian, dengan menyatakan bahawa rujukan sedemikian adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Kementerian Luar menegaskan, blok tersebut merupakan sebahagian daripada kawasan kedaulatan dan hak kedaulatan Malaysia, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diperkukuhkan melalui keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia tetap berpegang bahawa Blok ND6 dan ND7 terletak dalam wilayah maritim negara ini dan penggunaan istilah ‘Ambalat’ oleh Indonesia adalah bercanggah dengan pendirian tersebut.

“Rujukan kawasan Ambang Batas Laut atau ‘Ambalat’ digunakan pihak Indonesia. Tuntutan Indonesia meliputi sebahagian Laut Sulawesi termasuk blok ND6 dan ND7.

“Dalam hubungan ini, rujukan Ambalat kepada sebahagian blok berkenaan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Justeru, rujukan betul kepada kawasan berkenaan yang perlu digunakan selaras pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin mengenai cadangan pembangunan secara bersama di kawasan dikenali sebagai Ambalat yang sebahagiannya dikatakan terletak dalam perairan Sabah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah menyentuh mengenai cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi dalam kenyataan bersama pada 27 Jun lalu.

Cadangan tersebut, menurutnya, masih pada peringkat pertimbangan awal dan belum mencapai sebarang kata putus.

“Cadangan itu adalah usaha awal kedua-dua pemimpin untuk mencari penyelesaian terbaik bagi Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa menjalankan rundingan berhubung isu persempadanan maritim secara menyeluruh melibatkan pelbagai pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri Sabah.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan pemegang taruh berhubung perkara berkaitan persempadanan maritim Malaysia.

“Usaha ini dilakukan dengan pendekatan ‘whole of government’ dan penuh komitmen dalam melaksanakan rundingan dengan negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dapat dipersetujui kedua-dua pihak,” jelasnya.

Mohamad berkata, wakil Kerajaan Negeri Sabah turut terlibat dalam mesyuarat dan rundingan teknikal yang berkaitan isu sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia.

“Kerajaan Persekutuan juga sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian kerajaan Sabah dalam membuat apa-apa keputusan dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara.

“Perbincangan berkaitan sempadan maritim adalah berlandaskan kepada prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemat.

“Kerajaan sentiasa membuat penilaian terperinci dan menyeluruh berhubung sebarang cadangan penyelesaian, termasuk kerjasama ekonomi dalam mencari keputusan saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button