BERITA SEMASALUAR NEGARA

Seni batu tertua dunia ditemui di Indonesia

MUNA, INDONESIA – Sebuah gua di pulau tropika Muna, Sulawesi Tenggara, Indonesia, menjadi tumpuan dunia selepas penemuan stensil tangan manusia moden tertua, berusia sekurang-kurangnya 67,800 tahun.

Memetik laporan National Geographic, penemuan tersebut membuktikan manusia awal di Nusantara memiliki kecerdasan dan imaginasi yang tinggi pada zaman Pleistosen Akhir.

Gua yang dikenali sebagai Liang Metanduno itu dihiasi lukisan prasejarah termasuk figura manusia terbang, perahu penuh penumpang, dan pejuang berkuda yang dilukis menggunakan pigmen merah, coklat dan hitam.

Pada 2015, ahli arkeologi Indonesia, Adhi Agus Oktaviana, menjejaki seni gua lebih tua yang mendahului lukisan burung, babi dan kuda di dinding gua tersebut.

Beliau menemui dua stensil tangan di siling gua, salah satunya menonjolkan jari berbentuk seperti kuku haiwan.

“Penemuan ini menunjukkan manusia moden yang mendiami Nusantara pada zaman itu sudah mempunyai pemikiran yang kompleks,” kata Oktaviana.

Bersama ahli geokimia dari Griffith University, Australia, Maxime Aubert, Oktaviana menggunakan teknik laser-ablation uranium-series dating untuk menentukan usia lukisan tersebut.

Analisis mendapati stensil berbentuk kuku haiwan itu berusia antara 75,400 hingga 67,800 tahun, menjadikannya seni batu tertua yang dikaitkan dengan manusia moden setakat ini, lebih tua 16,600 tahun daripada seni gua terdahulu di Maros-Pangkep, Sulawesi.

Seni tangan yang diubah suai itu menunjukkan imaginasi tinggi, malah jari berbentuk kuku haiwan hanya ditemui di Sulawesi dan mungkin berkait dengan hubungan manusia-haiwan atau ritual untuk menangkis malapetaka.

Selain itu, stensil tangan lain di dua gua berdekatan didapati berusia antara 44,500 hingga 20,400 tahun, membuktikan seni gua terus dihasilkan selama puluhan ribu tahun hingga puncak zaman ais terakhir.

Penemuan itu juga memberi petunjuk bahawa penduduk awal Nusantara mungkin mempunyai kepintaran dan kemahiran navigasi yang membolehkan mereka merentas pulau dan menjadi penghuni pertama Australia sekitar 65,000 tahun lalu.

Kajian itu menambah bukti bahawa manusia awal di Asia Tenggara memiliki kecerdasan tinggi jauh sebelum manusia moden tiba di Eropah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button