Kerajaan negeri tingkat usaha pantau ajaran Ahmadiyah Qadiani – Amirudin
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor mempertingkatkan usaha memantau penyebaran ajaran Ahmadiyah Qadiani di negeri ini menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama masjid dan surau.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu turut merangkumi pendidikan kepada masyarakat mengenai perbezaan antara ajaran Ahmadiyah Qadiani dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu satu inisiatif yang telah berjalan sejak bertahun-tahun lalu.
“Masjid dan surau memainkan peranan penting untuk segera menghubungi JAIS sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan agama Islam.
“Kami juga menganjurkan program berskala besar bagi menjelaskan perbezaan antara ajaran Ahmadiyah atau Qadiani dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya selepas hadir pada majlis pelancaran kerjasama melibatkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Universiti Selangor (UNISEL) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), di sini hari ini.
Laporan media pada 17 Oktober lalu menyebut, dua premis di Kampung Nakhoda dan Kampung Laksamana, Gombak, yang mana salah satu daripadanya telah diserbu pihak berkuasa, dipercayai digunakan warga asing sebagai pusat ajaran Ahmadiyah Qadiani.
Premis berkenaan dilaporkan tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk solat Jumaat dan dipercayai digunakan oleh warga asing, yang disyaki berasal dari Pakistan, sebagai tempat berkumpul untuk menyebarkan ajaran tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







