Malaysia kekal destinasi pilihan utama pelancong Indonesia
JAKARTA – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan luar negara paling popular dalam kalangan rakyat Indonesia apabila mencatatkan lebih 30 peratus daripada keseluruhan perjalanan antarabangsa pada Julai 2025.
Menurut laporan Detik yang memetik data Badan Pusat Statistik (BPS), daripada 869,927 perjalanan warga Indonesia ke luar negara bulan lalu, sebanyak 31.66 peratus memilih Malaysia. Angka itu sekali gus meletakkan Malaysia di tangga teratas berbanding Arab Saudi (18.30 peratus), Singapura (13.55 peratus) dan China (6.24 peratus).
Secara kumulatif, jumlah perjalanan rakyat Indonesia ke luar negara dari Januari hingga Julai 2025 mencecah 5.44 juta, iaitu peningkatan 1.79 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Catatan itu juga merupakan jumlah tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2020.
“Secara kumulatif, jumlah perjalanan WNI (Warga Negara Indonesia) ke luar negeri selama Januari hingga Julai 2025 mencapai 5.44 juta perjalanan,” kata Timbalan Bidang Distribusi dan Jasa BPS, Pudji Ismartini dalam sidang media maya, semalam.
Bagaimanapun, trend berbeza dilihat dalam sektor pelancongan domestik Indonesia.
Jumlah perjalanan pelancong tempatan (wisnus) pada Julai 2025 susut 4.68 peratus kepada 100.20 juta perjalanan.
Namun secara tahunan, angka itu masih mencatatkan pertumbuhan kukuh iaitu 29.72 peratus.
Pulau Jawa kekal sebagai destinasi utama pelancongan domestik dengan 63.89 juta perjalanan atau 63.77 peratus daripada keseluruhan.
Negeri paling popular ialah Jawa Barat (17.77 juta), Jawa Timur (17.76 juta) dan Jawa Tengah (11.12 juta).
Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah perjalanan pelancong domestik Indonesia mencecah 713.98 juta, meningkat 19.25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








