BERITA SEMASA

Runtuhan cerun: Ada penduduk enggan tinggalkan rumah

KUALA LUMPUR – Sebahagian penduduk Blok C, Pangsapuri Kos Rendah Taman United, Seputeh di sini enggan berpindah walaupun arahan pengosongan dikeluarkan susulan pergerakan tanah dan runtuhan cerun yang berlaku di belakang blok berkenaan, semalam.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, beliau turun meninjau kawasan kejadian sejak semalam bagi memastikan keselamatan penduduk.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan semua unit berisiko dikosongkan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Saya menyeru semua penduduk Blok C supaya mematuhi arahan DBKL demi keselamatan mereka.

“DBKL juga telah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Komuniti Seri Petaling untuk menempatkan penduduk terjejas,” memetik Buletin TV3.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor, Tuan Rusli Tuan Mohamed.

Teresa berkata, DBKL bersama pasukannya telah menyediakan makanan, khemah dan kemudahan asas di PPS sejak malam semalam.

“DBKL dan wakil saya telah ke pusat komuniti malam tadi untuk menyediakan khemah, makanan dan keperluan asas penduduk,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pakar JMG akan menjalankan penilaian geoteknikal bagi mengenal pasti punca pergerakan tanah serta kaedah pemulihan cerun.

Menurut laporan awal JMG, runtuhan dipercayai berlaku akibat kegagalan dinding penahan menahan tekanan sisi tanah selepas berlaku pengumpulan air ketika hujan lebat, seterusnya meningkatkan tekanan hidrostatik sehingga struktur pecah.

Faktor lain termasuk kehadiran pokok besar di tebing cerun yang menambah beban dan menyebabkan akar memasuki struktur dinding, sekali gus mewujudkan titik lemah sebelum cerun runtuh.

Teresa berkata, penilaian penuh masih dijalankan dan kawasan penampan disediakan bagi mengurangkan risiko.

“Dalam tempoh satu hingga dua minggu ini, pakar JMG dan agensi lain akan membuat analisis terperinci sebelum menentukan tindakan susulan,” katanya lagi.

Beliau turut meminta kerjasama penuh daripada penduduk sepanjang tempoh kajian dilakukan.

“Kerjasama penduduk amat dihargai bagi memastikan keselamatan semua pihak,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Teresa menasihatkan DBKL supaya memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan cerun sebelum meluluskan sebarang projek berkapasiti tinggi di kawasan sekitar.

Semalam, Malaysia Tribunw melaporkan dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit diarahkan mengosongkan kawasan selepas berlaku pergerakan tanah akibat runtuhan cerun.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, laporan kejadian diterima pada 11.02 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama dua jentera dan 11 anggota dikerahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button