LUAR NEGARA

Ukraine lancar serangan dron besar-besaran ke atas Moscow

KYIV – Ukraine melancarkan satu lagi serangan dron berskala besar ke wilayah Moscow awal pagi tadi yang mencetuskan panik dan mengaktifkan sistem pertahanan udara Rusia.

Serangan membabitkan kira-kira 620 dron itu dilaporkan mencederakan tiga individu, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata, lebih 180 dron berjaya ditembak jatuh di wilayah berkenaan, manakala beberapa bangunan mengalami kerosakan.

Tangkap layar video serangan dron oleh Ukraine ke atas wilayah Moscow.

Gabenor wilayah Moscow, Andrey Vorobyov pula memaklumkan pasukan pertahanan udara dan peperangan elektronik negara itu dikerahkan bagi menangkis serangan berkenaan, terutama di daerah Pavlovsky Posad.

Antara yang menjadi sasaran adalah Kilang Penapisan Minyak Moscow dan sebuah kompleks gudang milik syarikat e-dagang Wildberries yang terletak di timur bandar raya itu.

Wildberries dalam kenyataan mengesahkan kompleks logistiknya mengalami kerosakan kecil selepas serpihan dron mengenai dinding bangunan.

Beberapa dron lain dilaporkan ditembak jatuh berhampiran gudang syarikat e-dagang Ozon di Kupavna, manakala sebuah premis komersial berhampiran pusat beli-belah Globus di Kolomna turut dilaporkan terkena serangan.

Serangan itu berlaku sehari selepas Rusia mengancam Britain akan ‘membayar’ tindakannya membekalkan senjata kepada Ukraine, susulan penggunaan dron buatan Britain oleh Kyiv dalam serangan ke atas wilayah Rusia sebelum itu.

Dalam perkembangan berkaitan, festival muzik ketenteraan antarabangsa Spasskaya Tower yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merah dari 21 hingga 24 Ogos turut dibatalkan buat kali pertama sejak konflik antara Rusia dan Ukraine tercetus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button