BERITA SEMASALUAR NEGARA

Rusia lancar misil hipersonik Oreshnik, ketegangan Ukraine–Rusia memuncak

KIEV – Ketegangan perang Ukraine–Rusia kembali memuncak apabila Moscow melancarkan serangan misil hipersonik Oreshnik ke atas beberapa sasaran strategik di Ukraine pada awal pagi Jumaat.

Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan penggunaan peluru berpandu berkelajuan tinggi itu sebagai tindak balas terhadap serangan dron Ukraine yang didakwa menyasarkan kediaman Presiden Vladimir Putin bulan lalu.

Namun, Kremlin tidak memperincikan operasi berkenaan, selain mendakwa pihak lawan melancarkan 36 misil dan 242 dron dalam siri serangan sebelum ini.

Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan, infrastruktur berhampiran bandar Lviv di bahagian barat negara itu menjadi sasaran serangan misil yang bergerak pada kelajuan dianggarkan 13,000 kilometer sejam.

Pentadbiran tentera wilayah bagaimanapun mengesahkan tahap radiasi di kawasan terlibat kekal pada paras normal.

Ini merupakan kali kedua Rusia menggunakan misil Oreshnik berkepala peledak konvensional, selepas senjata sama digunakan untuk membedil bandar Dnipro di tengah Ukraine pada akhir 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, setengah juta penduduk di wilayah sempadan Belgorod dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik dan sistem pemanas susulan serangan Ukraine ke atas kemudahan utiliti.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kiev bersama sekutu Barat memperhebat usaha diplomatik untuk menamatkan konflik yang kini memasuki tahun keempat.

Eropah turut menyatakan kesediaan mengerahkan pasukan tentera sekiranya perjanjian gencatan senjata dicapai.

Bagaimanapun, Rusia memberi amaran keras terhadap langkah itu.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova menegaskan, sebarang tindakan menempatkan pasukan tentera asing akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan yang sah, sambil menyifatkan kesepakatan tersebut sebagai ‘paksi perang’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button