LUAR NEGARA

26 maut serangan Rusia sebelum gencatan senjata bermula

KYIV – 26 individu dilaporkan terkorban, manakala lebih 80 lagi cedera dalam serangan dron dan peluru berpandu Rusia ke atas Ukraine, beberapa jam sebelum pelancaran gencatan senjata oleh Kyiv.

Serangan tersebut turut berlaku tiga hari sebelum Moscow dijadualkan memulakan tempoh jeda pertempuran yang dirancang pihak mereka, lapor Al Jazeera.

“Pada petang Selasa, bom luncur berat Rusia telah membedil kawasan Kramatorsk di wilayah timur, Zaporizhzhia di tenggara, serta Chernihiv di bahagian utara,” menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa tempatan.

Gabenor wilayah Zaporizhia, Ivan Fedorov mengesahkan sekurang-kurangnya 12 mangsa maut, manakala lebih sedozen lagi mengalami kecederaan dalam serangan di kawasan tersebut sahaja.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, serangan di Kramatorsk merupakan hab terakhir di bawah kawalan Kyiv di wilayah Donetsk telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.

Beliau kemudiannya memaklumkan serangan berasingan di bandar Dnipro turut meragut empat lagi nyawa.

Dalam pada itu, pihak berkuasa melaporkan lima individu maut dalam serangan udara semalaman Rusia yang mensasarkan kemudahan gas milik kerajaan di wilayah Poltava dan Kharkiv.

Insiden itu berlaku sehari selepas Kyiv dan Moscow mengumumkan rancangan gencatan senjata berasingan yang sepatutnya berkuat kuasa lewat minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tenaga negara Ukraine, Naftogaz, Serhiy Koretskyi memaklumkan tiga kakitangan dan dua anggota penyelamat antara yang terkorban, sementara 37 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron tersebut.

“Kami mengalami kerosakan infrastruktur yang signifikan dan kerugian besar dalam pengeluaran.

Ini merupakan serangan gabungan yang melibatkan UAV (pesawat tanpa pemandu) serta peluru berpandu balistik,” ujar Koretskyi.

Beliau menambah, serangan tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan gas kepada hampir 3,500 pengguna di kawasan terjejas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button