BERITA SEMASASUKAN

Azizulhasni sebak, teruskan misi LA28 selepas KBS, MSN sahkan khidmatnya diperlukan

KUALA LUMPUR – Penantian Datuk Azizulhasni Awang untuk mengetahui hala tuju kariernya terjawab hari ini apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan khidmatnya masih diperlukan, bagi misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Azizulhasni berkata, pengesahan itu diterimanya selepas beliau membuka e-mel daripada KBS dan MSN sejurus selesai menjalani sesi latihan di trek, hari ini.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, pelumba berbasikal trek negara itu berkata, tempoh seminggu sebelum menerima berita berkenaan cukup mencabar sehingga menjejaskan tumpuannya untuk berlatih.

“Alhamdulillah, hari ini 31 Ogos, Hari Kebangsaan ke-69. Saya baru buka e-mel di trek selepas sesi latihan selepas seminggu. Memang sepanjang minggu ini saya tidak boleh berlatih. Bila pergi berlatih, fikiran saya kosong.

“Saya buka e-mel dan terima e-mel daripada KBS dan MSN bahawa mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya tunggu sebelum saya ke Sukan Komanwel (Glasgow 2026) lagi dan Alhamdulillah, hari ini saya mendapat jawapan itu,” katanya sambil menitiskan air mata kegembiraan.

Juara dunia acara keirin pada 2017 itu mengakui hanya atlet yang pernah melalui pengalaman dan pengorbanan sama mampu memahami perasaan yang dilaluinya ketika ini.

“Tidak semua orang memahami perasaan ini. Sekiranya tidak melaluinya, kamu tidak akan memahaminya. Hanya atlet sebenar, hanya yang betul-betul berkorban untuk negara sahaja yang faham bagaimana perasaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus memberikan sokongan kepadanya, termasuk menerusi mesej dan komen di media sosial.

“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak pernah minta seorang pun untuk menyokong atau membantu saya, tetapi saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tampil menyokong saya.

“Walaupun melalui teks dan komen, ia membawa makna yang besar dan impak yang besar. Terima kasih kepada semua yang berada di belakang saya. Alhamdulillah, syukur Allah bantu saya dan bantu semua,” katanya.

Azizulhasni, 38, yang terkenal dengan semangat juang tinggi ketika menggalas cabaran negara turut menegaskan komitmennya untuk terus memberikan yang terbaik buat Malaysia.

“Seperti biasa, saya akan buat yang terbaik untuk negara yang tercinta dan kepada anda semua,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button