Rusia lancar serangan udara terbesar ke atas Ukraine
MOSCOW – Konflik Rusia-Ukraine mencatat satu lagi episod dramatik apabila Moscow melancarkan lebih 500 serangan udara ke atas Ukraine semalam, menjadikannya serangan paling dahsyat sejak perang tercetus sejak Februari 2022.
Ketua Komunikasi Tentera Udara Ukraine, Yuriy Ihnat, berkata, serangan besar-besaran itu melibatkan 477 dron, 60 peluru berpandu dan sejumlah perangkap letupan lain.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 475 berjaya dipintas atau tidak mengenai sasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan serangan tersebut sebagai yang terbesar sejak permulaan konflik yang turut mensasarkan beberapa wilayah yang jauh dari perbatasan perang.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Rusia memaklumkan serangan itu menyasarkan kemudahan industri ketenteraan serta kilang penapisan minyak milik Ukraine.
Moscow turut mendakwa berjaya memintas tiga dron Ukraine dalam serangan tersebut.
Tindakan agresif itu bagaimanapun dilihat bercanggah dengan keterbukaan Putin pada Jumaat lalu yang sedia membawa konflik ke meja rundingan.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menegaskan serangan berskala besar itu jelas membuktikan Kremlin tidak berminat untuk menamatkan peperangan.
“Moscow tidak akan berhenti selagi ia mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan besar-besaran.
“Dalam tempoh seminggu lalu sahaja, Rusia telah melepaskan lebih 114 peluru berpandu, 1,270 dron dan hampir 1,100 bom ‘glide’ ke arah Ukraine.
“Perang ini mesti ditamatkan. Tekanan terhadap penceroboh perlu diteruskan dan perlindungan terhadap rakyat perlu dipertingkatkan,” menurut hantaran dimuat naik di akaun media sosial.
Sehubungan itu, Zelenskyy menggesa sistem pertahanan udaranya terus diperkukuh termasuk melalui pembelian aset dari Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut menegaskan sokongan berterusan daripada AS, negara Eropah dan sekutu antarabangsa penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Ukraine terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








