Malaysia kekal prinsip seimbang dalam hubungan dagang – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Malaysia akan terus mengamalkan prinsip seimbang dan tidak berpihak dalam menjalin hubungan perdagangan dengan mana-mana kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China.
Menurut beliau, walaupun Malaysia baru sahaja menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik dengan Amerika Syarikat di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, dasar perdagangan negara kekal berlandaskan kepentingan bersama dan prinsip kepuasan dalam perdagangan antarabangsa.
“Kami mempunyai hubungan yang baik dengan Rusia dan saya telah bermesyuarat dengan Presiden Vladimir Putin.
“Melalui perjanjian perdagangan yang telah ditandatangani, kami memberi keutamaan kepada Rusia dan China.
Kami ikut prinsip kepusatan dan yang penting ialah (mempunyai) perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi mesyuarat dua hala di sini hari ini.
Semalam, Anwar dan Presiden AS, Donald Trump menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik yang membolehkan negara ini memperoleh akses pasaran yang lebih luas berbanding persetujuan terdahulu.
Anwar juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk, di sela-sela sidang kemuncak berkenaan bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan, sains, perdagangan dan pelaburan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini menegaskan, Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan geopolitik mana-mana pihak dan akan terus menilai setiap perjanjian berdasarkan manfaat ekonomi kepada rakyat.
Katanya, pendekatan itu mencerminkan dasar berkecuali Malaysia yang menekankan kerjasama strategik dengan semua pihak, tanpa menjejaskan hubungan dengan rakan lama mahupun baharu.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung di ibu negara turut menghimpunkan lebih 30 pemimpin dunia termasuk dari China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia dan Rusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








