ASEAN: PM bincang kukuhkan perdagangan, pelaburan dua hala dengan Premier China
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuannya dengan Premier Li Qiang dan delegasi China dapat memperkukuh lagi persahabatan erat Malaysia–China yang berteraskan kepercayaan dan saling menghormati.
Perdana Menteri berkata, ia menjadi simbol hubungan dua hala yang semakin kukuh dan berpaksikan kestabilan serantau.
“Perbincangan kami tertumpu kepada pengukuhan perdagangan dan pelaburan dua hala.
“Malaysia komited memperluas eksport bernilai tinggi dalam sektor E&E, aeroangkasa, perubatan, tenaga boleh diperbaharui dan minyak dan gas di bawah kerangka Pelan Kerjasama Belt dan Road Initiative (BRI),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Anwar turut menekankan kepentingan projek seperti Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim hasil kerjasama Proton dan Geely.
Selain itu beliau turut menyentuh mengenai peluasan ECRL dan kerjasama pelabuhan antara Malaysia dan China yang bakal memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik dan maritim serantau.

“Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan berterusan syarikat-syarikat China dalam bidang digital, semikonduktor dan teknologi hijau, seiring aspirasi kita untuk menjadi hab inovasi utama ASEAN,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pertemuan itu turut menyentuh Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand.
Katanya, Premier China menzahirkan sokongan negara itu terhadap usaha damai yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang disifatkan satu kejayaan diplomasi ASEAN dalam menegakkan keamanan melalui kepercayaan dan dialog.
“China juga menyatakan komitmen berterusan untuk membantu merungkai krisis di Myanmar, khususnya dalam memastikan gencatan senjata dikekalkan serta membawa semua pihak kembali ke meja rundingan demi keamanan dan kemakmuran rantau ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








