Jet F-16 terhempas, juruterbang Ukraine terkorban elak serangan Rusia
KYIV — Seorang juruterbang pesawat pejuang F-16 Ukraine maut selepas jet yang dikemudinya terhempas ketika cuba mengelak serangan udara yang dilancarkan Rusia ke atas beberapa bandar utama negara itu.
Menurut kenyataan pihak berkuasa Ukraine, juruterbang berkenaan, Maksym Ustymenko, terkorban selepas berjaya menembak jatuh beberapa sasaran musuh sebelum pesawatnya mengalami kerosakan kritikal.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menyifatkan Ustymenko sebagai lambang keberanian dan mengurniakannya gelaran Wira Ukraine, anugerah tertinggi negara itu.
“Beliau mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan orang awam dan mempertahankan langit Ukraine. Kita akan sentiasa mengenang pengorbanan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tentera Udara Ukraine, juruterbang terbabit berjaya membawa pesawat yang rosak jauh dari kawasan penempatan, namun tidak sempat keluar sebelum ia terhempas.
“Beliau menggunakan semua sistem persenjataan dan menembak jatuh tujuh sasaran udara.
“Ketika menghadapi sasaran terakhir, jet mengalami kerosakan teruk dan mula hilang ketinggian,” jelasnya.
Serangan udara Rusia berlaku serentak di beberapa wilayah mengakibatkan kemusnahan ke atas rumah penduduk dan kemudahan infrastruktur, selain mencederakan sekurang-kurangnya 12 orang.
Gabenor Wilayah Lviv memaklumkan serangan kali ini menyasarkan infrastruktur strategik di kawasan berhampiran sempadan Poland.
“Insiden ini menjadikan jumlah F-16 yang musnah kepada tiga sejak Ukraine mula mengoperasikan pesawat buatan Amerika Syarikat itu tahun lalu,” ujarnya
Walaupun bilangan sebenar armada tidak diumumkan, jet berteknologi tinggi itu kini menjadi antara komponen utama dalam sistem pertahanan udara negara yang terus berdepan ancaman berterusan.
Penganalisis ketenteraan Ukraine, Roman Svitan, menjelaskan penggunaan F-16 dalam misi menangani serangan dron berskala besar tidak begitu praktikal.
“F-16 direka untuk menghadapi sasaran berkelajuan tinggi seperti jet pejuang atau peluru berpandu. Ia bukan platform paling sesuai untuk menangani dron yang terbang rendah dan perlahan,” katanya.
Berikutan peningkatan kekerapan serangan, Ukraine terus menggesa Amerika Syarikat dan sekutu Barat untuk menyalurkan lebih banyak bantuan ketenteraan, khususnya sistem pertahanan udara jarak dekat dan sederhana.
Permintaan itu dilihat sebagai langkah kritikal bagi memperkukuh keupayaan pertahanan yang kini semakin terdesak menangkis serangan berterusan oleh Rusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








