BERITA SEMASALUAR NEGARA

Sepanyol halang AS guna pengkalan bersama untuk serang Iran

MADRID – Sepanyol menegaskan pangkalan tentera bersama di wilayahnya tidak digunakan dan tidak akan digunakan oleh Amerika Syarikat bagi sebarang operasi ketenteraan terhadap Iran.

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pangkalan berkenaan tidak terlibat dalam operasi ketenteraan yang sedang berlangsung.

“Berdasarkan semua maklumat yang saya ada, pangkalan tersebut tidak digunakan untuk operasi ketenteraan ini,” katanya kepada televisyen awam Sepanyol pada Isnin.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez sebelum ini mengutuk serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang bermula Sabtu lalu sebagai campur tangan ketenteraan yang ‘tidak berasas’ selain menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Albares menjelaskan, kerajaan Sepanyol tidak akan membenarkan penggunaan pangkalan tentera melebihi skop perjanjian sedia ada atau bertentangan dengan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan itu merujuk kepada Pangkalan Tentera Laut Rota dan Pangkalan Udara Moron yang digunakan bersama oleh kedua-dua negara.

Amerika Syarikat beroperasi di kedua-dua pangkalan berkenaan di bawah perjanjian penggunaan bersama, namun kedaulatan ke atas fasiliti tersebut kekal milik Sepanyol.

Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles turut menegaskan pangkalan berkenaan tidak akan memberi sokongan kecuali jika diperlukan atas dasar kemanusiaan.

Dalam pada itu, Sepanyol turut mengecam serangan balas Iran ke atas beberapa negara Teluk susulan tindakan ketenteraan tersebut.

Menurut peta yang dikeluarkan laman penjejakan penerbangan FlightRadar24 pada Isnin, sebanyak 15 pesawat Amerika Syarikat dilaporkan berlepas dari pangkalan di selatan Sepanyol sejak serangan terhadap Iran dilancarkan.

Sekurang-kurangnya tujuh pesawat itu dilaporkan mendarat di Pangkalan Udara Ramstein di Jerman.

Pendekatan Madrid dilihat berbeza berbanding beberapa negara utama Eropah lain.

United Kingdom pada awalnya enggan membenarkan penggunaan pangkalan tenteranya bagi serangan terhadap Iran, namun pada Ahad, Perdana Menteri Keir Starmer mengizinkan penggunaannya atas alasan ‘pertahanan diri kolektif’ susulan serangan balas Iran yang menyasarkan aset Amerika Syarikat di Asia Barat serta infrastruktur tenaga di rantau Teluk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button