BERITA SEMASAHIBURAN

Kisah silang budaya Malaysia-China terus jadi kekuatan musim kedua drama ‘The Lady from the Northeast’

KUALA LUMPUR – Drama bersiri The Lady from the Northeast musim kedua yang ditayangkan di rangkaian strim FlickReels berjaya menambat hati penonton Malaysia dan China setelah lima hari ditayangkan.

Siri drama pendek skrin menegak pertama itu sudah melepasi 100 juta indeks populariti dan 1 bilion tontonan di China, selain mencetuskan perbincangan hangat di platform antarabangsa termasuk YouTube dan TikTok dan.

Dirakam sepenuhnya di lokasi sekitar Shenyang, China, siri tersebut menggunakan ikatan kekeluargaan untuk merentasi perbezaan wilayah, sekali gus menjadi contoh terbaik bagi pertukaran budaya dan kerjasama silang budaya dalam industri filem dan televisyen China-Malaysia.

The Lady from the Northeast musim kedua meneruskan kisah cinta rentas negara antara Qian Xiaohui, seorang gadis dari wilayah Timur Laut China dengan Zhou Hexuan, anak kepada keluarga kaya dari Malaysia, yang bermula pada musim pertama.

Siri dalam musim kedua ini mengisahkan perjalanan Xiaohui membawa Hexuan yang dilakonkan oleh pelakon Malaysia, Kevin Ye, bersama seluruh keluarganya pulang ke Timur Laut China untuk majlis perkahwinan mereka.

Di sini, perbezaan budaya antara China dan Malaysia diterjemahkan menjadi detik-detik dramatik yang penuh dengan adegan lucu.

Siri tersebut dengan bijak berjaya menyelitkan pelbagai elemen budaya Malaysia, membolehkan penonton tempatan melihat cerminan kehidupan mereka sendiri melalui gelak tawa, sekali gus mencetuskan resonansi emosi dan identiti budaya yang meluas.

Seorang ibu mentua dari Malaysia tiba di Lapangan Terbang Shenyang dengan memakai kot bulu cerpelai hingga berpeluh kerana cuaca panas; di pasar pagi pula, dia yang pada awalnya tidak menyukai makanan ringan yang berminyak dan masin akhirnya jatuh cinta sepenuhnya, malah mahu menawarkan gaji tahunan jutaan yuan kepada peniaga sarapan untuk bekerja dengannya.

Musim pertama The Lady from the Northeast mencatat lebih 3 bilion tontonan dalam tempoh sebulan selepas tayangan.

Drama tersebut turut berjaya memenangi Anugerah Komunikasi Antarabangsa di Festival Drama Pendek Antarabangsa Macau, dengan pelakon utama Kevin menerima Anugerah Bintang Baharu Paling Berpotensi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button