BERITA SEMASA

MARA meterai kerjasama strategik dengan universiti terkemuka China

SHANGHAI – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai kerjasama strategik dengan Shanghai Jiao Tong University (SJTU), universiti bertaraf dunia yang kini berada di kedudukan ke-47 dunia dan ketiga di China, semalam.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, melalui kerjasama itu, pelajar Bumiputera akan berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET berteknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan terkini, selain turut ditawarkan kadar yuran istimewa dan peluang menjalankan penyelidikan bersama.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada pelajar Bumiputera bukan sekadar menimba ilmu, tetapi membawa pulang teknologi terkini untuk dimanfaatkan di tanah air,” katanya dalam satu hantaran video di laman facebook hari ini.

Menurut beliau, misi MARA ke Shanghai bukan sahaja tertumpu kepada bidang pendidikan, tetapi turut memfokuskan kepada agenda pemerkasaan usahawan Melayu dan Bumiputera ke pasaran global.

Melalui program Gate To Global (GTG) yang dilaksanakan sejak 2018, katanya, lebih 1,000 usahawan telah dilatih, dengan 132 daripadanya berjaya menembusi pasaran antarabangsa melibatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM652 juta sehingga Oktober 2025.

“Pada edisi MIHAS di Shanghai kali ini sahaja, 16 usahawan GTG MARA berjaya mencatat jualan sebanyak RM150 juta sepanjang lima hari pameran berlangsung,” katanya lagi.

Tambah beliau, MARA turut mengadakan beberapa pertemuan dengan persatuan perdagangan Malaysia-China bagi membuka lebih banyak akses pasaran ke negara berpopulasi 1.4 bilion pengguna itu.

Dr Asyraf berkata, hubungan strategik dengan China amat penting memandangkan negara tersebut kini menjadi gergasi ekonomi dunia yang maju pesat dalam pelbagai bidang teknologi.

“MARA berhasrat memastikan generasi Melayu dan Bumiputera tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi moden.

“Malah, kita mahu anak-anak Bumiputera bukan sekadar belajar, tetapi membawa pulang ilmu dan teknologi untuk dikembangkan di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan hasrat MARA untuk meneroka kerjasama bersama syarikat gergasi China bagi membuka kilang berteknologi tinggi di Malaysia, sebagai langkah memperkukuh ekosistem ekonomi Bumiputera.

“Doakan usaha MARA ini diberkati dan berjaya demi mengangkat martabat ekonomi Bumiputera,” katanya lagi.

Dr Asyraf turut menegaskan komitmen MARA untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan bertaraf global serta memantapkan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera agar lebih ramai anak bangsa mampu berdiri sebagai pemain global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button