Ibu bapa pelajar dibuang MRSM mahu saman Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan terdapat ibu bapa pelajar yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan MARA susulan penyingkiran anak mereka dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana terbabit dalam kes buli.
Asyraf berkata, tindakan itu timbul berikutan ketegasan pihaknya menyingkirkan pelajar yang melakukan salah laku disiplin serius, khususnya membabitkan perbuatan buli.
“Saya dimaklumkan ada ibu bapa yang anaknya dibuang MRSM kerana kes buli mahu saman saya dan MARA. Saya kata, ‘Bring it on!’,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, keselamatan majoriti pelajar menjadi keutamaan MARA bagi memastikan suasana pembelajaran kekal selamat dan kondusif.
“Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar, bukan segelintir yang berlagak samseng,” tegasnya sambil menambah, MARA akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pelajar yang terbabit dalam kes buli.
Menurut Asyraf, budaya samseng tidak mempunyai tempat di MRSM dan pelaku mesti menerima akibat perbuatan tanpa mengira latar belakang.
Beliau turut mengulangi mesej amaran “#YouTouchYouGo” sebagai tanda komitmen MARA mengambil tindakan pantas demi melindungi pelajar lain.
Pada akhir Julai lalu, enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah MRSM di Melaka digantung dan dicadang dibuang selepas didakwa terbabit dalam kes buli, manakala pada April lalu, Jawatankuasa Disiplin MRSM turut mengesyorkan tujuh pelajar di MRSM Nibong Tebal, Pulau Pinang ditamatkan pengajian atas kesalahan sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








