Mesyuarat pimpinan Kerajaan Perpaduan fokus prestasi kerajaan, PRN Sabah
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi tumpuan kepada prestasi kerajaan serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Sekretariatnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat bersetuju supaya kajian separuh penggal pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dijalankan Jemaah Menteri dibentangkan kepada majlis berkenaan.
“Kajian itu penting bagi menghormati perspektif berbeza dalam kalangan parti gabungan. Mesyuarat juga menilai pencapaian kerajaan, mengambil perhatian terhadap semua teguran serta memberi fokus kepada usaha pemantapan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mesyuarat hampir dua jam itu berlangsung pada pukul 5 petang.
Ia turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, mesyuarat turut menyentuh persediaan PRN Sabah dengan penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Mesyuarat turut merakamkan tahniah atas kejayaan Malaysia dan Perdana Menteri yang berjaya memeterai perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








