BERITA SEMASA

NextGenBiz lonjak minat belia, MARA perkasa keusahawanan sebagai kerjaya masa depan

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempergiat usaha menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama generasi muda menerusi Program NextGenBiz yang memberi pendedahan awal kepada pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Sejak Februari lalu, program bersiri itu telah dilaksanakan di tujuh lokasi strategik dengan penyertaan lebih 1,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Antara lokasi penganjuran termasuk Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Negeri Sembilan, melibatkan institusi seperti Universiti Kuala Lumpur, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sabah serta Politeknik Port Dickson.

mara
Zahari (gambar kanan) ketika menyampaikan perkongsian ekosistem keusahawanan MARA ketika di UniKL Kampus Kota.

“Program NextGenBiz dirangka sebagai platform memperkenalkan keusahawanan sebagai laluan kerjaya berpotensi tinggi yang selari dengan keperluan semasa merangkumi bidang teknikal, profesional, teknologi, kreatif dan industri bernilai tinggi.

“Melaluinya, pelajar didedahkan kepada asas pengurusan perniagaan selain peluang menceburi bidang keusahawanan berasaskan kemahiran termasuk dalam sektor perkhidmatan dan teknologi,” kata MARA dalam satu kenyataan.

Tambahnya, peserta turut diberi pemahaman menyeluruh mengenai ekosistem pembangunan usahawan MARA yang merangkumi kemudahan pembiayaan, latihan, bimbingan, pembangunan kapasiti serta akses pasaran.

mara
(Gambar kanan) Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA, Uyon Shoib menyampaikan perkongsian ekosistem keusahawanan MARA ketika di Universiti Malaysia Sabah. (Gambar kiri) Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA, Mimi Mazlin Mohamad Yusof berinteraksi bersama pelajar Politeknik Port Dickson.

“Inisiatif ini dilihat sejajar dengan keperluan semasa yang menuntut graduan lebih fleksibel dan berdaya tahan dalam memilih laluan kerjaya.

“Melalui keusahawanan, ia bukan sahaja sebagai sumber pendapatan, malah platform mencipta peluang pekerjaan dan memacu inovasi.

“MARA yakin pendekatan bersepadu menerusi penganjuran di pelbagai lokasi mampu menyemai minat serta meningkatkan keyakinan pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan mengikut minat dan kepakaran masing-masing,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi memperluas impak program, NextGenBiz akan diteruskan ke beberapa lokasi lain dengan penglibatan kepimpinan tertinggi MARA termasuk sesi bersama pengerusi dan ketua pengarahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button