BERITA SEMASA

Pelajar tajaan MARA dipilih wakili graduan berucap pada konvokesyen UCSD

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Arif Ismail Ruslan, 24, mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih menyampaikan ucapan mewakili graduan pada majlis konvokesyen University of California San Diego (UCSD), Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Lebih membanggakan, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Molekul dan Sel dengan minor Sains Marin itu tidak memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapanya yang hadir pada majlis tersebut, menjadikannya satu kejutan istimewa buat mereka.

Arif dipilih sebagai penyampai ucapan graduasi bagi Class of 2026 Seventh College UCSD sekali gus mengiktiraf kecemerlangan akademik serta penglibatan aktifnya dalam kepimpinan pelajar dan khidmat masyarakat sepanjang empat tahun pengajian.

Sepanjang berada di UCSD, beliau mengasaskan Persatuan Pelajar Malaysia serta aktif dalam pelbagai program kebajikan, kepimpinan dan advokasi pelajar.

Sebagai senator antarabangsa dalam Persatuan Pelajar universiti itu, Arif turut memperjuangkan isu yuran pengajian yang lebih adil, memperluaskan bantuan kepada pelajar antarabangsa serta menyuarakan isu diskriminasi dan Islamofobia.

Di luar kampus, beliau mengetuai Manara West yang membimbing pelajar di lebih 50 kampus di Pantai Barat AS dalam aspek kepimpinan, pembangunan profesional dan advokasi.

Dalam ucapannya, Arif berkongsi pengalaman meninggalkan Malaysia empat tahun lalu untuk melanjutkan pengajian di AS dengan biasiswa MARA.

“Empat tahun lalu, saya meninggalkan Malaysia sebagai penuntut antarabangsa dengan bantuan biasiswa MARA untuk mendapatkan pendidikan yang tidak mampu ditanggung keluarga saya.

“Saya membawa bersama kasih sayang, harapan dan impian ibu bapa saya,” katanya memetik laporan Metro Online.

Menurut Arif, antara cabaran terbesar yang dihadapinya ialah menyesuaikan diri dengan budaya baharu, meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris serta menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim di negara asing.

Beliau berkata sokongan komuniti kampus dan pelajar Muslim banyak membantu dirinya menyesuaikan diri serta membina keyakinan sepanjang berada di UCSD.

Arif juga mengingatkan graduan supaya terus membuka peluang kepada generasi seterusnya untuk berjaya.

“Apabila kita melangkah keluar melalui pintu ini, jangan tutup pintu itu di belakang kita.

“Tugas kita sekarang ialah memastikan ia terus terbuka dan membimbing mereka yang datang selepas kita,” katanya.

Kejayaan Arif turut mencerminkan pengorbanan keluarganya dalam mementingkan pendidikan apabila beliau merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button