SUKAN

Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan ketiga selepas tewaskan beregu Popov

PARIS – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia selepas mengatasi cabaran sengit daripada beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov, dalam aksi 65 minit di Arena Adidas, Paris semalam.

Pasangan pilihan ketujuh itu menang dengan keputusan 21-15, 18-21, 21-19, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus menentang beregu ranking ke-19 dunia itu dalam tiga pertemuan setakat ini.

Aksi tersebut berlangsung mendebarkan apabila Popov bersaudara yang mendapat sokongan padu penonton tuan rumah bangkit mendahului 16-11 dalam set penentuan.

Namun, ketenangan dan semangat juang tinggi Wei Chong-Kai Wun membolehkan mereka meraih mata demi mata sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan dramatik 21-19.

Wei Chong mengakui lawan mereka beraksi cemerlang di laman sendiri.

“Mereka bermain sangat baik terutama dari segi pertahanan. Kami tidak boleh menang mudah dalam satu atau dua pukulan, sebaliknya terpaksa mengharungi pertarungan rali yang panjang,” katanya memetik laporan NST.

Sementara itu, Kai Wun menegaskan sikap bertenang menjadi kunci ketika mereka ketinggalan dalam set penentuan.

“Pada saat itu saya beritahu rakan saya, kita perlu relaks, jangan fikir tentang tekanan atau jangkaan. Yang penting kita main sebaik mungkin dan berikan segala-galanya,” katanya lagi.

Beregu negara itu yang tidak meletakkan sasaran khusus dalam kejohanan kali ini menegaskan fokus utama mereka adalah mengekalkan prestasi konsisten.

“Yang paling penting adalah konsistensi. Jika kami konsisten, keputusan baik akan menyusul,” tambah Wei Chong.

Untuk tempat ke suku akhir, mereka akan menentang beregu England, Sean Vendy-Ben Lane, yang menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button