MARA hargai wira takraw negara, tamat kemarau emas 34 tahun
KUALA LUMPUR – Dua pemain skuad sepak takraw negara menerima penghargaan khas daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) , iaitu insentif RM3,000 seorang, atas kejayaan menewaskan Thailand di pentas final Sukan SEA baru-baru ini.
Dua kakitangan MARA yang menjadi tonggak utama pasukan kebangsaan ialah Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong dan Amirul Zazwan Amir sebagai apit kiri.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, kejayaan meraih emas selepas 34 tahun merupakan pencapaian yang amat manis, bukan sahaja buat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan MARA, malah kepada seluruh pencinta sukan negara.
Menurutnya, kejayaan itu juga membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara MARA dan PSM yang telah terjalin sejak lebih dua tahun lalu dalam usaha melahirkan dan mengasah bakat sedia ada.
“Kejayaan ini adalah antara yang paling bermakna dalam tempoh tiga hingga empat dekad bagi sukan sepak takraw negara. Ia wajar diraikan bersama dan diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain muda untuk mempertahankan kejuaraan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penghargaan bagi kedua-dua atlet berkenaan di Bangunan MARA di ibu negara hari ini.
Zulfikri menegaska, MARA komited untuk terus menyokong pembangunan sukan sepak takraw negara serta membela kebajikan atlet kebangsaan agar kejayaan yang dicapai dapat dikekalkan dan dipertahankan.
Terdahulu, pasukan sepak takraw Malaysia mencipta sensasi apabila menundukkan tuan rumah Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir, sekali gus menamatkan dominasi negara itu dan mengakhiri penantian emas sejak kali terakhir dimenangi pada Sukan SEA 1991.
Dalam majlis sama, Mohammad Syahir berkata, sokongan berterusan MARA sepanjang tempoh latihan dan penyertaan kejohanan menjadi faktor penting kepada kejayaan yang dicapai, termasuk bantuan kewangan dan kemudahan bagi membolehkan mereka menjalani latihan sepenuh masa.
“Alhamdulillah, saya dan Amirul sudah bersama hampir sembilan tahun. Terima kasih kepada MARA yang sentiasa memberi sokongan penuh, termasuk elaun latihan dan bantuan ketika ke luar negara. Sokongan itu sangat bermakna dan membantu kami mencapai sasaran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














