RM2 juta perkasa sepak takraw, Anwar utamakan pembangunan pemain
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi memperkasa sukan sepak takraw dengan memberi keutamaan kepada pembangunan dan kebajikan pemain.
Beliau berkata, tumpuan utama kerajaan bukan hanya kepada persatuan, sebaliknya memastikan pemain mendapat perhatian sewajarnya termasuk dari aspek latihan, kemudahan dan sokongan berterusan.
“Yang penting bukan persatuan, tetapi pemain. Kita mahu melahirkan lebih ramai bakat baharu dan menyemarakkan minat rakyat terhadap sukan ini,” katanya ketika merasmikan Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Anwar berkata, sepak takraw merupakan sukan warisan yang cukup dekat dengan masyarakat, khususnya di kawasan kampung dan desa, namun masih memerlukan sokongan lebih menyeluruh untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan memperluaskan penyertaan pelbagai kaum dalam sukan tersebut selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan nasional.
“Sepak takraw bukan milik satu kaum sahaja, sebaliknya perlu dijadikan platform untuk menyatukan rakyat,” katanya lagi.
Tambah beliau, pemain juga perlu mengekalkan disiplin tinggi serta menghargai sokongan kerajaan dan rakyat dalam mengejar kejayaan.
Anwar turut berkata, peruntukan RM2 juta itu akan digunakan bagi meningkatkan kebajikan atlet termasuk keperluan latihan, pemakanan dan kelengkapan, selain pembangunan akademi.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi penganjuran acara sepak takraw pada Mei ini.
Katanya, usaha memperkasa sukan tersebut bukan sahaja mampu melahirkan atlet berkualiti, malah menjadi medium penting dalam memupuk semangat perpaduan dan jati diri rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








