Projek ECRL mungkin dilanjutkan hingga ke sempadan Thailand – PM
BEIJING – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kemungkinan akan dilanjutkan sehingga ke sempadan Thailand.
Perdana Menteri berkata, projek itu memberi makna tersendiri kerana ia membawa pembangunan ke wilayah luar bandar dan pedalaman.
“Insya-Allah, kita akan membincangkan kemungkinan melanjutkan ECRL sehingga ke sempadan Thailand.
“China telah membuka banyak peluang di Malaysia, daripada pertanian hingga semikonduktor, pusat data, AI dan telekomunikasi.
“Malaysia kini muncul sebagai hab tenaga dan semikonduktor rantau ini, dengan banyak syarikat antarabangsa, termasuk dari China, menjadikan negara kita sebagai pusat operasi dan ibu pejabat serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China di Beijing petang tadi yang disertai 120 syarikat dan konglomerat besar China.
Dialog itu mencerminkan sokongan serta keyakinan yang mendalam terhadap hubungan erat kedua-dua negara.

Dalam pada itu Anwar menegaskan terdapat keperluan memperkukuh hubungan Malaysia–China dengan memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan untuk membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, nadir bumi, ekonomi biru, pendidikan, penyelidikan dan sebagainya.
Tegasnya, kekuatan Malaysia adalah politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, daripada Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan, hinggalah kepada agenda peralihan tenaga termasuk ASEAN Power Grid.
“Saya juga sempat menyentuh mengenai ahli perniagaan Malaysia, Robert Kuok. Pada saat ramai pelabur asing menarik diri dari China pada 1989, beliau tetap teguh kerana percaya pada masa depan China dan nilai persahabatan sejati.
“Semangat ini wajar menjadi pedoman bahawa keyakinan dan keikhlasan adalah asas dalam membina kepercayaan dan kerjasama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








