BERITA SEMASA

Sovereign AI Cloud perlu pastikan data sensitif kekal dalam negara – Anwar

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mempunyai sistem Sovereign AI Cloud bagi memastikan data sensitif negara termasuk melibatkan aspek keselamatan dan pertahanan disimpan serta dikawal sepenuhnya dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi melindungi kedaulatan data negara daripada sebarang risiko pendedahan atau akses tidak dibenarkan, termasuk melalui kerangka undang-undang luar yang boleh memberi kesan kepada pengurusan data strategik negara.

“Pembangunan sistem tersebut turut berkait rapat dengan keperluan negara untuk memastikan data strategik tidak terdedah kepada campur tangan pihak luar, khususnya menerusi perundangan negara asing yang melibatkan syarikat teknologi global,” katanya ketika sesi soal jawab bersama pelajar pada program Temu Anwar di UCSI College, hari ini.

Beliau berkata, dalam perkembangan dunia digital masa kini, wujud kerangka undang-undang antarabangsa seperti di Amerika Syarikat yang menunjukkan setiap negara perlu mempunyai kawalan tersendiri terhadap data kritikal masing-masing.

“Pelaksanaan Sovereign AI Cloud tidak bermaksud menutup ruang kepada pelaburan syarikat teknologi antarabangsa, sebaliknya memastikan hanya data sensitif tertentu dikawal dalam negara, manakala ekosistem digital negara terus berkembang secara terbuka.

“Pendekatan itu selari dengan usaha Malaysia memperkukuh pembangunan industri teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta memperluaskan kerjasama dengan syarikat global, di samping memperkasa pembangunan bakat tempatan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pembangunan ekosistem AI negara perlu disertai usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi agar Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu muncul sebagai peneraju dalam bidang berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button