PM ucap tahniah kepada Hajiji, tegas komitmen Kerajaan MADANI kepada Sabah
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baharu untuk membentuk Kerajaan Negeri sambil menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati mesej jelas yang disampaikan oleh para pengundi negeri itu.
Menurut Anwar, keputusan rakyat Sabah menunjukkan tuntutan terhadap perubahan yang nyata selepas sekian lama berdepan ketidakadilan dan pengabaian oleh pelbagai parti, sama ada dari Semenanjung atau negeri itu sendiri.
“Kerajaan MADANI menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang telah dilontarkan para pengundi di Sabah, bahawa mereka menuntut perubahan yang nyata,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan telah berusaha menangani pelbagai isu berbangkit berkaitan Sabah termasuk tuntutan dan hak yang bersangkut paut dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Alhamdulillah, kami berusaha merungkai setiap isu yang diwarisi termasuk soal tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah.
“Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan MA63,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan terus beriltizam meneruskan agenda pembaharuan demi memastikan Sabah menjadi sebuah negeri yang adil, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
“Kerajaan MADANI akan terus konsisten di jalur pembaharuan ini. Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung,” kata beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








