BERITA SEMASAPMX

Anwar, Shehbaz sepakat Selat Hormuz mesti kekal terbuka, selamat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif sepakat bahawa Selat Hormuz mesti kekal terbuka dan selamat bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa.

Anwar berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau mengadakan perbualan telefon dengan Shehbaz yang turut bertanyakan perkembangan kesihatannya.

“Saya sempat berhubung menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang bertanyakan perkembangan kesihatan saya.

“Saya menghargai doa serta kiriman bunga dan buah-buahan daripada beliau dan memaklumkan bahawa saya kini dalam proses pemulihan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial malam tadi.

Menurut Anwar, beliau turut bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau ini dan senada bahawa segala ketegangan perlu ditangani secara cermat menerusi dialog serta diplomasi demi memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

“Kami juga membincangkan perkembangan hubungan Iran–Amerika Syarikat dan menegaskan pentingnya libat urus berterusan bagi meredakan ketegangan. Selat Hormuz pula mesti kekal terbuka dan selamat bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dan Shehbaz turut membincangkan perkembangan hubungan dua hala, termasuk usaha memperhebat kerjasama perdagangan dan ekonomi yang masih mempunyai potensi besar untuk diteroka.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha memperluas eksport daging Pakistan ke Malaysia.

“Segala komitmen yang dicapai harus diterjemahkan segera kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Malaysia akan terus mendukung Pakistan sebagai negara sahabat dan rakan penting, insya-Allah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button