BERITA SEMASA

PM ikuti rapat bencana banjir dari Kenya, arah gerakan menyeluruh bantu lebih 15,000 mangsa

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang semakin memburuk dan kini menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri yang kini berada di Kenya bagi urusan rasmi berkata, beliau mengikuti rapat setiap perkembangan bencana itu dan menerima laporan berkala daripada agensi berkaitan.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama aset pelbagai agensi telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas untuk menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap serta memastikan bantuan segera disampaikan kepada semua mangsa.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut dikerah ke Kelantan, negeri yang paling teruk terkesan, selain bersedia digerakkan ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan memberi bantuan kecemasan di lapangan.

“Kerajaan juga mengaktifkan Skuad Ihsan MADANI di semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang kini beroperasi di tujuh negeri,” katanya hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa terutama apabila diminta segera berpindah.

Sementara itu Anwar turut mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan dilindungi daripada sebarang musibah sepanjang tempoh sukar ini.

“Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button