RENCANA

Anwar di ASEAN 2025: Kejayaan maksimum dalam tempoh minimum

Oleh: PROF MADYA DR SITI DARWINDA MOHAMED PERO

DALAM tempoh tiga hari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan rangkaian aktiviti diplomatik, kepimpinan serantau, kerjasama ekonomi dan pembangunan strategik yang padat, menjadikan tempoh singkat ini sebagai antara yang paling bermakna dalam sejarah hubungan luar Malaysia dan ASEAN.

Dalam detik yang terbatas itu beliau bukan sahaja menerima lawatan rasmi daripada beberapa ketua negara ASEAN, tetapi turut mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 , menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, memeterai pelbagai perjanjian strategik dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju diplomasi serantau.

Antara yang paling utama ialah lawatan rasmi oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022. Dalam pertemuan dua hala ini, kedua-dua pihak membincangkan isu-isu melibatkan perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, pertahanan, pendidikan, dan sektor kecerdasan buatan (AI) serta semikonduktor.

Perdana Menteri juga menerima lawatan rasmi daripada rakan sejawat beliau dari Vietnam, Pham Minh Chinh. Hubungan dua hala Malaysia–Vietnam telah ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (PSC) pada November 2024. Dalam lawatan ini, kedua-dua pemimpin menggariskan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, keselamatan siber, pertanian moden, peralihan tenaga mampan dan pembangunan modal insan.

Mengikut Perdana Menteri, PSC ini membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik serta mencipta masa depan yang lebih lestari dan inovatif.

Pertemuan dua hala bersama pemimpin China dan Asia Barat

Dalam sela-sela sidang kemuncak, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Premier China, Li Qiang. Perbincangan dengan Lawrence Wong menumpukan kepada projek RTS Link, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta ASEAN Power Grid manakala bersama Li Qiang, mereka menyentuh isu Laut China Selatan, perkembangan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dan kerjasama dalam industri halal serta teknologi AI.

Perdana Menteri juga mengadakan perbincangan penting dengan pemimpin dari Asia Barat termasuk Putera Mahkota Kuwait, Emir Qatar dan Putera Mahkota Bahrain. Perbincangan ini membuahkan pelbagai memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan sektor tenaga, pendidikan, perdagangan digital dan pembangunan taman perindustrian. Dalam pertemuan dengan Putera Mahkota Bahrain, tujuh MoU ditandatangani merangkumi kerjasama logistik, sumber manusia, pendidikan tinggi, perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan rangkaian aktiviti diplomatik, kepimpinan serantau, kerjasama ekonomi dan pembangunan strategik yang padat sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Kredit – Izzuddin Abd Radzak/ Prime Minister’s Office of Malaysia.

Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045

Selain hubungan dua hala, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menjadi medan penting untuk pelancaran rasmi Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045: Masa Depan Bersama. Deklarasi ini menetapkan enam pelan strategik jangka panjang untuk dua dekad akan datang, merangkumi aspek politik, keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa kita bukan sekadar membentuk masa depan, tetapi mewariskan satu legasi perpaduan, kesepakatan dan masa depan bersama buat ASEAN.

Malaysia juga mencipta sejarah sebagai tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama. Gabungan ketiga-tiga blok ini, yang mewakili kekuatan ekonomi global, menyaksikan kejayaan dalam mencapai kesepakatan ke arah rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-GCC dan pengukuhan kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan dan kestabilan geopolitik serantau.

Satu lagi pencapaian penting ialah pemeteraian perjanjian antara Malaysia, Singapura dan Vietnam untuk mengeksport tenaga angin luar pesisir dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura melalui kabel dasar laut. Projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif ASEAN Power Grid dan disokong oleh Bank Pembangunan Asia (ADB).

Perdana Menteri turut melibatkan suara rakyat dan golongan belia melalui sesi libat urus bersama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dan delegasi belia ASEAN. Beliau menegaskan bahawa suara dan idealisme anak muda harus diberi tempat dalam pembentukan dasar ASEAN kerana keberanian dan idealisme anak muda adalah kekuatan yang tidak ternilai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan rangkaian aktiviti diplomatik, kepimpinan serantau, kerjasama ekonomi dan pembangunan strategik yang padat sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Kredit – Izzuddin Abd Radzak/ Prime Minister’s Office of Malaysia.

Dalam tempoh yang sama, beliau turut mengadakan Forum Ekonomi Fortune ASEAN-GCC-China dan menyampaikan mesej penting kepada sektor perniagaan: “Kepimpinan politik telah menyediakan dasar yang stabil dan jelas. Tiba masanya untuk sektor swasta mengambil langkah berani, memanfaatkan peluang dan merealisasikan aspirasi ini secara bersama.”

Perdana Menteri juga bertemu dengan Presiden ADB, Masato Kanda, yang menyatakan komitmen institusi itu untuk menyokong kepimpinan Malaysia dalam integrasi ekonomi serantau dan membiayai projek seperti ASEAN Power Grid, serta sektor tenaga hijau dan penyelidikan.

Sidang Kemuncak ASEAN beri perkembangan positif isu Myanmar

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 turut memperlihatkan perkembangan positif dalam isu keanggotaan penuh Timor Leste, yang dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober. Isu Myanmar juga mendapat perhatian dengan penekanan kepada bantuan kemanusiaan dan gencatan senjata.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 turut diserikan dengan Majlis Makan Malam Gala yang menampilkan kekayaan budaya Malaysia serta Santapan Diraja bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Acara ini memperkukuh hubungan diplomatik melalui pendekatan budaya dan tradisi negara.

Tepat sekali kenyataan Perdana Menteri dalam sidang media penutup bahawa sidang kali ini merupakan antara yang paling substantif dalam sejarah ASEAN bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan penuh makna.”

Dengan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, agenda-agenda utama bukan sahaja dibincang, malah diterjemahkan kepada tindakan dan dokumen konkrit seperti permulaan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN–GCC dan deklarasi bersama berkaitan masa depan ASEAN.

Melalui gabungan diplomasi aktif, kecekapan pengurusan sidang, visi dan pandangan jauh yang strategik, serta ketahanan fizikal luar biasa seperti terbukti apabila beliau menghadiri sehingga 12 acara dalam sehari, Perdana Menteri telah memanfaatkan sepenuhnya peluang kepengerusian ASEAN dengan keberkesanan dan ketokohan yang mengagumkan.

Itulah hakikatnya, hanya dalam masa tiga hari sahaja beliau telah berjaya membawa ASEAN ke arah kerjasama strategik yang lebih mendalam dan meletakkan Malaysia sebagai pusat graviti kepada kemajuan rantau ini dalam dunia yang kian mencabar.

* Penulis merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

PROF MADYA DR SITI DARWINDA MOHAMED PERO

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button