BERITA SEMASAPMX

Skandal besar negara didalangi orang pintar tetapi rendah akal budi – PM

KUALA LUMPUR – Skandal besar negara termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan FELDA menunjukkan kepintaran serta kelulusan akademik yang tinggi tidak menjamin seseorang memiliki akhlak dan integriti.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skandal berkenaan bukan didalangi individu yang tidak berpendidikan, sebaliknya mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran tetapi gagal menghayati nilai amanah serta tanggungjawab.

“Kalau kita lihat umpamanya skandal-skandal besar yang kita hadapi dalam negara kita, dari 1MDB kepada Tabung Haji, kepada FELDA dan itu semua bukan dilakukan oleh orang yang tidak ada pendidikan.

“Orang berilmu, orang yang pintar tetapi orang yang rendah akal budi dan nilai mereka,” katanya menerusi hantaran video ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan.

Menurutnya, keadaan itu membuktikan pendidikan tidak boleh hanya berorientasikan pencapaian akademik dan penguasaan ilmu, sebaliknya perlu menekankan pembentukan adab, akhlak serta nilai kemanusiaan.

Anwar berkata, lebih membimbangkan apabila kerosakan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit itu bukan sahaja berlaku, malah ada pihak yang terus mempertahankan perbuatan berkenaan.

“Sudahlah rugi berbilion tipu sana sini, gondol kekayaan untuk dua tiga kerat orang, kemudian himpun di sana sini, pertahankan pula lagi kebejatan dan kerosakan yang telah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, sikap sedemikian memperlihatkan kepentingan membina masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu dan kemahiran, tetapi turut mempunyai akhlak serta integriti.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendidikan perlu berteraskan nilai adab, selaras dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang sering dikaitkan dengan kepentingan pembentukan akhlak iaitu ‘Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi.

Menurutnya, nilai berkenaan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah supaya anak-anak memahami bahawa kejayaan dalam pelajaran mesti disertai tingkah laku yang baik dan rasa hormat terhadap orang lain.

“Jadi kalau ada umpamanya kita mengejar kemajuan dan pembelajaran, buli dan mendera kawan-kawan masih berlaku, itu maknanya pendidikan tidak menekankan akhlak dan adab.

“Dia nak jadi pintar, tetapi perangai macam haiwan. Menghina orang, memperbodohkan orang, menghina satu sama lain, menjadikan teman-temannya itu sebagai perkakas untuk dipermainkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kepintaran tanpa nilai moral boleh disalahgunakan, termasuk apabila seseorang menggunakan kepakaran dalam bidang perakaunan atau kewangan untuk melakukan penipuan.

“Sebab itu Kementerian Pendidikan diarah untuk keras dan tegas.

“Guru dan pendidik di sini haruslah bantu jaga anak-anak kita kerana yang kita didik itu bukan sahaja ilmu, jangan pintar pandai menguasai ilmu, pandai accounting, lagi pandai lagi kuat menipu.

“Sebab itu anak-anak kita mesti kita selamatkan, didik dengan baik,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button