BERITA SEMASA

IPT, industri perlu bangunkan kurikulum bersama

SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pihak industri perlu memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kurikulum serta latihan bagi memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penglibatan industri tidak seharusnya terhad kepada penyediaan tempat latihan industri, sebaliknya perlu bermula sejak peringkat pembangunan program akademik, penetapan hasil pembelajaran dan kaedah pengajaran.

Beliau berkata, perubahan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan menuntut sistem pendidikan tinggi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah mampu mengaplikasikan ilmu serta menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.

“Industri perlu menjadi rakan strategik institusi pendidikan tinggi, bukan sekadar menyediakan tempat latihan kepada pelajar.

“Kerjasama berterusan ini penting bagi memastikan kemahiran yang dipelajari di universiti selari dengan keperluan sebenar industri,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim pada program MQA Industry Connect 2026 di Xiamen University Malaysia (XMUM), di sini, hari ini.

Menurut Zambry, kadar kebolehpasaran graduan meningkat kepada 92.5 peratus pada 2024 berbanding 75 peratus pada 2014, sekali gus menunjukkan kemajuan sistem pendidikan tinggi negara.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian itu perlu disusuli usaha memastikan kemahiran graduan dapat dimanfaatkan secara optimum dan tidak berlaku ketidakpadanan antara kelayakan akademik dengan keperluan majikan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan perkongsian maklumat pasaran buruh, penglibatan pakar industri sebagai tenaga pengajar dan mentor serta peluasan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.

Kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan inovasi juga perlu dipertingkatkan bagi melahirkan bakat yang mampu menyelesaikan masalah serta menguasai kemahiran baharu sepanjang kerjaya.

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat berkompetensi, pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.

Program anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu menghimpunkan kira-kira 100 IPT awam dan swasta serta 100 wakil industri bagi membincangkan hala tuju kerjasama strategik antara kedua-dua sektor.

Zambry berharap pertemuan itu menghasilkan kerjasama dengan matlamat jelas, pembahagian peranan yang dipersetujui serta penilaian keberhasilan bagi memastikan pembangunan bakat negara menjelang 2035 menjadi tanggungjawab bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button