BERITA SEMASA

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumi di Pusara Negara

PUTRAJAYA – Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20 di sini, pada pukul 6.20 petang tadi.

Allahyarhamah yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dikebumikan berhampiran pusara Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

hasmah
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun.

Istiadat pengebumian diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat dan disertai lapan pegawai daripada gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Upacara bacaan talkin pula disempurnakan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

Ribuan orang ramai hadir sejak pukul 2 petang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh wanita negara itu.

Turut berkenan hadir Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ditemani Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Puteri Raja Tengku Afzan Aminah Hafidzatullah pada pukul 4.45 petang.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin turut hadir memberikan penghormatan terakhir, selain barisan menteri Kabinet.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Pusara Negara selepas selesai solat jenazah di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, pada 4.30 petang.

Turut menyaksikan istiadat pengebumian ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir dengan menggunakan kerusi roda, selain anak-anak pasangan tokoh negara berkenaan termasuk Datuk Seri Marina Mahathir, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir.

Tun Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor dan merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Allahyarham melanjutkan pengajian di King Edward VII College of Medicine dan merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di institusi berkenaan, beliau bertemu Tun Mahathir sebelum kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata yang terdiri daripada tiga perempuan dan empat lelaki.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button