Lee Chong Wei kenang kasih Tun Dr Siti Hasmah terhadap badminton negara
KUALA LUMPUR – Perbualan terakhir oleh bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika Malaysia Open awal tahun ini menjadi kenangan yang paling terkesan selepas menerima berita pemergian Allahyarhamah.
Menerusi perkongsian di media sosialnya sendiri, Chong Wei berkata, Tun Dr Siti Hasmah ketika itu begitu bersemangat untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pemain-pemain badminton negara.
“Pagi tadi bila dapat berita Tun Dr Siti Hasmah dah tak ada, terduduk kaku saya dibuatnya. Hati rasa betul-betul sedih dan sebak. Terus teringat masa Malaysia Open awal tahun hari tu. Bila berhubung dengan Tun, Tun semangat sangat kata nak datang stadium bagi sokongan pada pemain-pemain kita. Semangat dan cinta Tun pada badminton langsung tak pernah pudar.
“Tak sangka betul, itu rupanya kali terakhir kita berbual,” katanya.
Chong Wei berkata, walaupun Tun Dr Siti Hasmah lebih dikenali orang ramai sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, baginya dan seluruh skuad badminton negara, Allahyarhamah merupakan seorang pahlawan yang amat dihormati serta insan yang sentiasa menjadi tempat mereka menumpang kasih.
Baca juga: Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Tun Dr Siti Hasmah
Menurutnya lagi, pemain-pemain senior turut sering mengimbas kenangan manis ketika Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992, dengan Tun Dr Siti Hasmah ketika itu sentiasa berada bersama pasukan dalam kapasiti beliau sebagai penaung.
“Setiap kali cerita pasal kejayaan tu, mesti bertakung air mata Tun,” kongsinya.
Chong Wei juga mengenangkan minat dan kesetiaan Allahyarhamah terhadap sukan badminton apabila Tun Dr Siti Hasmah sendiri bermain badminton sehingga usia 75 tahun.
Tambahnya lagi, minat dan kesetiaan Allahyarhamah terhadap sukan itu memberikan inspirasi kepadanya serta seluruh warga badminton negara.
Dalam masa yang sama, Chong Wei turut merakamkan penghargaan kepada Tun Dr Siti Hasmah atas segala sumbangan, kasih sayang dan kekuatan yang dicurahkan kepada badminton Malaysia serta dirinya selama ini.
Beliau menyatakan bahawa, senyuman dan kehangatan kasih Allahyarhamah akan terus dikenang di gelanggang badminton serta dalam hati seluruh rakyat Malaysia, selain menyatakan bahawa pemergian Allahyarhamah akan sentiasa dirindui.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








