BERITA SEMASA

MA63 perlu diangkat sebagai naratif nasional – Kamil Munim

KUALA LUMPUR – Penegasan Perdana Menteri agar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diangkat sebagai sebahagian daripada naratif nasional disambut baik kerana ia membuka ruang lebih luas untuk memahami sejarah, asas pembentukan serta makna Malaysia.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, wacana kebangsaan masih banyak dilihat dari sudut pandang Semenanjung, manakala persoalan MA63, kedudukan Sabah dan Sarawak, tuntutan pembangunan serta hubungan dengan Kerajaan Persekutuan sering dianggap sebagai isu wilayah.

“Sedangkan sejarah pembentukan Malaysia tidak pernah meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai catatan sampingan kepada sebuah negara yang telah sempurna terbentuk.

“Malaysia lahir daripada keberanian untuk membina sebuah persekutuan yang besar cita-citanya; merentasi laut dan wilayah, menghimpunkan masyarakat dengan latar budaya, agama dan sejarah yang berbeza, namun bersedia berkongsi masa depan dalam sebuah negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pengertian MA63 sebagai naratif nasional perlu dibawa lebih jauh dengan memastikan pengalaman Sabah dan Sarawak difahami sebagai sebahagian daripada pengalaman Malaysia secara keseluruhan.

“Sejarah Sabah dan Sarawak adalah sejarah kita. Kemiskinan di pedalaman Sabah bukan masalah orang Sabah semata-mata, sebagaimana keciciran pendidikan di Sarawak tidak boleh dianggap persoalan yang jauh daripada kehidupan seorang anak muda di Selangor, Kedah atau Kelantan,” katanya.

Menurutnya lagi, semangat sebuah persekutuan menuntut rasa keadilan, tanggungjawab dan kepunyaan yang sama dalam kalangan rakyat tanpa dipisahkan oleh kedudukan geografi.
Menjelang sambutan Hari Malaysia, rakyat juga perlu menilai sejauh mana perjalanan pembentukan negara itu telah disempurnakan.

Walaupun banyak kemajuan dicapai dan pelbagai perkara berkaitan MA63 telah diselesaikan atau dikembalikan melalui rundingan, pembinaan sebuah negara tidak terhenti kepada penyelesaian peruntukan Perlembagaan atau pembahagian kuasa semata-mata.

Sebaliknya katanya, ia turut menuntut rasa kepunyaan, kesaksamaan peluang, penghormatan terhadap kepelbagaian serta keyakinan bahawa setiap rakyat mempunyai saham yang sama terhadap masa depan negara.

“Generasi terdahulu telah melakukan ikhtiar besar membentuk Malaysia pada tahun 1963. Kita tidak harus sekadar bernostalgia mengenang keberanian mereka setiap kali tibanya 16 September.

“Penghormatan terbaik kepada generasi pembentuk Malaysia adalah dengan meneruskan dan menyempurnakan ikhtiar yang telah mereka mulakan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan seruan mengangkat MA63 sebagai naratif nasional sebagai permulaan kepada perbincangan lebih besar bagi memperbaharui persefahaman kebangsaan, memperkukuh federalisme dan merapatkan jurang pembangunan.
Ia juga menegaskan Malaysia tidak seharusnya difahami hanya dari perspektif Kuala Lumpur.

“Setelah 63 tahun perjalanan bersama, apakah ikhtiar kita untuk Malaysia bagi 30 atau 50 tahun mendatang?” katanya.

Menurut kenyataan itu, generasi hari ini memikul amanah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih adil, bersatu dan sempurna sebagai sebuah persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button