849 pegawai imigresen dikenakan tindakan tatatertib, 73 dibuang kerja
KUALA LUMPUR – Seramai 849 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2023 hingga Oktober 2026, termasuk 73 orang yang dibuang kerja akibat pelbagai kesalahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, seramai 96 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, dengan 18 daripadanya dibuang kerja.
Beliau menegaskan, JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyelewengan kuasa atau pelanggaran integriti dalam kalangan pegawainya tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Menurutnya, jabatan itu memandang serius dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas yang dikaitkan dengan beberapa pegawai Imigresen di Kuala Lumpur seperti dilaporkan media dan dibangkitkan di pelbagai platform media sosial.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan dakwaan berkenaan diminta menyalurkannya secara rasmi kepada pihak berkuasa termasuk JIM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Penyaluran maklumat secara terus kepada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan integriti bahan bukti dapat dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pendedahan maklumat mengenai kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang secara terbuka sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dikhuatiri boleh menyebabkan pihak terbabit menghentikan kegiatan, mengubah modus operandi atau menghapuskan bahan bukti.
Beliau berkata, JIM sentiasa terbuka menerima maklumat berkaitan salah laku pegawai dan memberi jaminan setiap maklumat yang diterima akan disalurkan untuk tindakan mengikut undang-undang serta peraturan berkuat kuasa.
Katanya, jabatan itu akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus, teratur serta berlandaskan undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








