BERITA SEMASA

Masjid Rusila kecewa tindakan Maritim Malaysia, nafi terima sebarang permohonan aktiviti

MARANG – Jawatankuasa Masjid Rusila menafikan dakwaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhubung aktiviti yang berlaku di kawasan masjid itu pada 19 September lalu.

Pengerusinya, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan atau makluman daripada mana-mana pihak, termasuk Maritim Malaysia, sama ada secara bertulis atau lisan berkaitan aktiviti yang dimaksudkan.

“Kami telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia pada 22 Oktober lalu.

“Pihak masjid tidak menerima sebarang permohonan atau dimaklumkan mengenai apa-apa aktiviti seperti yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak masjid turut mendapatkan pengesahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan sama ada sebarang aktiviti daripada mana-mana agensi dijalankan pada tarikh berkenaan.

“Hasil semakan dengan pihak polis mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan atau dimaklumkan kepada mereka pada masa tersebut,” katanya lagi.

Menurut Mohd Azri, selepas penjelasan itu, pihaknya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut bagi menjaga nama baik masjid dan memastikan ketelusan maklumat.

“Selepas laporan dibuat, pihak kami menerima panggilan telefon daripada wakil Maritim Malaysia yang menyampaikan permohonan maaf secara lisan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pihak masjid melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan tidak profesional yang ditunjukkan oleh agensi berkenaan dalam mengendalikan isu tersebut.

“Kami berharap perkara seperti ini tidak berulang dan semua pihak lebih berhati-hati serta menghormati prosedur apabila melibatkan institusi masjid,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button