BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia selamat pemancing kayak terbalik

KUANTAN – Seorang pemancing berdepan detik cemas apabila kayak yang dinaikinya terbalik di perairan berhampiran Kuantan Port Consortium (KPC) sebelum berjaya diselamatkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.25 petang itu, Mohamad Saiful Hafizie Mohd Kamaruzaman, 32, terjatuh ke laut setelah kayaknya dimasuki air dan terbalik akibat ombak kecil di kawasan tersebut.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihak Pusat Operasi Maritim (PUSOP) menerima maklumat kecemasan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng sebelum operasi menyelamat segera diaktifkan.

“Mangsa sempat menghubungi pihak berkuasa menerusi telefon, memaklumkan beliau tidak mampu membetulkan kedudukan kayaknya dan hanya mampu berpaut pada sebuah beacon berhampiran sambil menunggu bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bertindak atas maklumat itu, Sea Bot Kapal Maritim (KM) PEKAN bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan Bot Pilot Pelabuhan digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 7.15 malam.

“Mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 30 minit kemudian dan dibawa ke jeti KPC dalam keadaan selamat pada pukul 8.05 malam,” tambah Mazlan.

Beliau dalam masa sama menasihatkan komuniti pemancing agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk mengelak turun ke laut secara bersendirian selain memastikan peralatan keselamatan dibawa sebelum memulakan aktiviti.

Sebarang aduan atau kecemasan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian kecemasan 999.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button