Dua anggota Maritim Malaysia cedera ditembak di perairan Kunak, Sabah
LAHAD DATU – Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera selepas ditembak ketika melakukan rondaan di perairan Kunak kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, mangsa terbabit ialah Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, yang juga ketua bot Banggi 48 cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot yang sama, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan pihak penjenayah.
Selain itu, empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelas beliau, berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 ketika bot berkenaan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.
Tambah beliau lagi, apabila pasukan peronda cuba menghampiri, suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda
“Maritim Malaysia menghampiri mereka. Suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan kejadian terbabit, Maritim Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & amp; Penyelamat, pesawat udara, Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.
Dalam pada itu, kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak bagi diberikan rawatan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








