BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 50kg ganja di Kuala Perlis

KUALA PERLIS – Cubaan sindiket dadah membawa masuk kira-kira 50 kilogram ganja melalui laluan laut gagal apabila dirampas pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di pesisir pantai Kuala Perlis, semalam.

Rampasan dibuat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Zon Maritim Kuala Perlis ketika melaksanakan rondaan rutin Op AMAN dan Op TIRIS 3.0 selepas menerima maklumat berhubung objek mencurigakan yang terdampar di pantai.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, hasil pemeriksaan menemui tiga guni berisi 49 ketulan daun kering mampat disyaki ganja.

“Dadah tersebut dipercayai cuba diseludup masuk melalui laluan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, jumlah rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai sekitar RM150 ribu bergantung kepada kualiti dan kaedah pengedaran.

Jelas Romli lagi, jika terlepas ke pasaran, bekalan tersebut mampu dipecahkan kepada puluhan ribu paket kecil untuk pengguna tempatan, sekali gus memberi kesan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia akan mempertingkat rondaan serta pengawasan di perairan Kedah dan Perlis, selain memperkukuh perkongsian risikan bersama agensi penguat kuasa lain bagi menutup ruang pengedaran dadah oleh sindiket di dalam negara ini.

Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.

Sebarang kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di 04-9851072 dan 04-9851162 untuk tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button