BERITA SEMASAPMX

Kerajaan terus pantau kadar inflasi susulan kenaikan gaji penjawat awam – PM Anwar

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus memantau kadar inflasi dan impaknya kepada negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam bermula Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneliti dari segi pelaksanaan kenaikan gaji lebih 13 peratus tersebut sekali gus memastikan hasil negara meningkat menerusi pemantauan yang lebih kemas.

“Sebab itu kenaikan (inflasi) (dijangka) secara berperingkat pada Disember dan diikuti pada tahun berikutnya.

“Justeru, kalau (inflasi) naik pun, (ia) dalam keadaaan terkawal kerana seperti yang kita tahu, inflasi di negara kita paling rendah di Asia,ā€ kata Anwar ketika muncul dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ yang disiarkan di stesen TV tempatan, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan kenaikan inflasi dalam negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

Siang tadi, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam yang melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion ketika hadir pada sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan, di sini.

Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau untuk memastikan kenaikan inflasi tidak akan membebankan rakyat.

Menurut Bank Negara Malaysia, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus pada tahun ini, berikutan tekanan kos yang terkawal susulan keadaan bekalan global yang bertambah baik.

Menyentuh mengenai kos sara hidup, Perdana Menteri menafikan rungutan daripada beberapa pihak bahawa kos sara hidup pada masa ini adalah paling tinggi dalam sejarah.

“Itu bohong. Saya pernah dulu mempengerusikan (mesyuarat) berpuluhan tahun yang lepas mengenai pengawalan harga barang selaku Menteri Kewangan ketika itu. Memang kita andaikan setiap tahun sebelum raya, mesti harga ayam naik tetapi kali ini, tidak.

“Kemudian tentang harga sayur dan ikan, kita juga pantau. Ada beberapa yang naik. Saya tidak menafikan tetapi kita pantau,ā€ kata beliau, sambil menambah kos sara hidup di Malaysia masih dikawal baik berbanding Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button