BERITA SEMASAPMX

PM Anwar kenang kebaikan Dr. Manmohan Singh

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa sedih berikutan berita pemergian sahabat baiknya, iaitu bekas Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh.

Anwar menyifatkan Dr. Manmohan Singh sebagai arkitek pembaharuan ekonomi India yang memainkan peranan penting dalam membawa negara itu menjadi salah satu kuasa ekonomi dunia.

“Obituari, esei dan buku pasti akan banyak ditulis mengenai beliau, merayakan beliau sebagai arkitek pembaharuan ekonomi India. Sebagai Perdana Menteri, Dr. Manmohan Singh adalah penyumbang utama kepada kemunculan India sebagai salah satu gergasi ekonomi dunia,” katanya di Facebook milik beliau hari ini.

Mengimbas kembali pengalamannya, Anwar berkata, beliau menyaksikan sendiri tahun-tahun awal dasar transformasi ekonomi India ketika mereka berdua berkhidmat sebagai menteri kewangan pada tahun 1990-an.

“Kami berdua berkongsi komitmen yang kuat dalam memerangi rasuah, bahkan pernah bekerjasama dalam menyelesaikan satu kes besar.

“Puji-pujian yang akan datang pastinya amat wajar. Dr. Manmohan Singh, yang sedikit kekok sebagai ahli politik tetapi tidak dapat disangkal sebagai seorang negarawan yang teguh, berdedikasi dan tegas, meninggalkan warisan yang akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” tambahnya.

Selain itu, Anwar turut berkongsi satu kisah yang tidak ramai orang tahu, iaitu ketika beliau dipenjarakan, Dr. Manmohan Singh telah menawarkan biasiswa untuk anak-anaknya.

“Beliau menawarkan biasiswa untuk anak-anak saya, terutamanya anak saya, Ihsan. Walaupun saya menolak tawaran itu, namun tindakan itu jelas menunjukkan kemanusiaan dan kemurahan hati beliau yang luar biasa.

“Bagaikan seorang lelaki yang penuh dengan “the milk of human kindness” (kebaikan) seperti yang dikatakan oleh Shakespeare,” ujar Anwar.

Dalam saat-saat sukar ketika beliau menjalani penjara, Anwar menyatakan Dr. Manmohan Singh tetap berdiri teguh di sampingnya sebagai seorang sahabat sejati.

“Tindakan besar hati seperti itu merupakan sebahagian daripada perwatakan Dr. Manmohan Singh yang akan kekal dalam ingatannya selamanya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button