UNHCR gagal main peranan tempatkan pelarian ke negara ketiga
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) gagal memainkan peranannya untuk menempatkan semula pelarian ke negara ketiga.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebahagian besar pelarian Rohingya di Malaysia memegang kad UNHCR, namun agensi itu hanya berjaya menempatkan semula hanya kira-kira 5,000 pelarian dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
“Majoriti pelarian Rohingya ini adalah pemegang kad UNHCR. Kita minta UNHCR hantar mereka ke negara ketiga, tetapi UNHCR gagal berbuat demikian.
“Sebab itu kita sedang menyemak semula keberadaan UNHCR di Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH–Balik Pulau) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad berkata, agensi itu sepatutnya berfungsi sebagai badan yang menempatkan semula pelarian ke negara ketiga sepertimana yang dilakukan semasa krisis pelarian Vietnam pada era 1970-an, namun perkara tersebut tidak lagi berlaku.
Beliau kemudiannya menjelaskan, negara yang sebelum ini lazim menerima pelarian, seperti Australia, Amerika Syarikat, dan Jerman, telah menutup pintu mereka serta mengguna pakai dasar anti-imigran.
Mohamad turut menegaskan penghantaran pulang bukan satu pilihan memandangkan Negeri Rakhine kini tidak lagi berada di bawah kawalan kerajaan Myanmar.
Menurutnya, kawasan tersebut kini dikuasai Tentera Arakan, yang keganasannya terhadap etnik Rohingya adalah jauh lebih kejam.
“Menghantar pulang Rohingya bermakna kita menghantar mereka untuk disembelih.
“Saya tidak akan bersetuju. Saya nyatakan dalam Dewan ini bahawa saya tidak akan bersetuju untuk menghantar orang pergi disembelih,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








