BERITA SEMASA

Pembentangan Belanjawan 2027 diawalkan 3.30 petang Jumaat ini

KUALA LUMPUR – Pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini diawalkan kepada pukul 3.30 petang.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor berkata, surat pemakluman mengenai perubahan waktu berkenaan sudah diedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat.

“Antara urusan penting yang akan dibahaskan dan dipertimbangkan dalam mesyuarat ini ialah Belanjawan 2027, yang mana pembentangan bacaan kedua diawalkan pada jam 3.30 petang hari Jumaat ini.

“Sehubungan itu, bagi kemudahan semua Ahli Yang Berhormat yang beragama Islam, solat Jumaat akan diadakan di dalam Parlimen Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Belanjawan 2027 yang bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi merupakan Belanjawan MADANI kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini memaklumkan Belanjawan 2027 dirangka berasaskan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan hidup rakyat serta memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.

Sebanyak 10 bidang tumpuan digariskan dalam penyediaan belanjawan berkenaan, antaranya daya tahan fiskal dan perbelanjaan, tatakelola serta disiplin perkhidmatan, pelaburan bernilai tinggi, TVET dan pekerjaan berkualiti, kos sara hidup serta bantuan rakyat, perlindungan sosial, kesihatan, keterjaminan makanan dan daya tahan bencana iklim serta wilayah dan perumahan mampu milik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button