BERITA SEMASAPMX

Mekanisme tentukan golongan miskin tegar diubah kepada per kapita – PM

KUALA LUMPUR – Mekanisme yang digunakan bagi menentukan golongan yang tergolong dalam kategori miskin tegar di negara ini diubah kepada per kapita, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, mekanisme itu diubah daripada indikator pendapatan, kepada per kapita yang mengambil kira tanggungan isi rumah dalam sesebuah keluarga.

“Tentang mekanisme, memang dulu kita ambil kira indikator pendapatan, tetapi kita lihat ada kelemahan dari segi pendapatan ini.

“Umpamanya, kalau pendapatannya RM2,000 sebulan tapi ada empat isi rumah, maka yang pendapatan sebenarnya RM500. Ini juga berbeza daripada yang berpendapatan RM2,000 dan ada lapan isi rumah, pendapatan sebenarnya RM250.

“Sebab itu, sekarang ini diubah daripada indikator pendapatan kepada per kapita. Jadi perkara itu, saya rasa lebih tepat tidak ambil kira pendapatan, tetapi dari segi per kapita kerana lihat juga beberapa orang anak dan tanggungan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya Ahli Parlimen Rantau Panjang (PN), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai mekanisma yang digunakan bagi menentukan kategori miskin tegar.

Pada masa yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan komited untuk memastikan usaha menoktahkan kemiskinan tegar terus dipergiat dengan kerjasama kerajaan negeri.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pada 31 Januari 2023, angka kategori miskin tegar adalah sebanyak 126,372 Ketua Isi Rumah (KIR) dan setakat 29 Julai tahun ini, jumlah yang dikesan daripada angka-angka Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan e-kasih sudah diselesaikan.

“Setakat 21 Oktober tahun ini, 15,029 Ketua Isi Rumah (KIR) atau 65.6 peratus telah diselesaikan dengan bakinya akan ditingkatkan.

“Sebab itu dalam mesyuarat-mesyuarat saya dengan Kerajaan Negeri, saya minta Kerajaan Negeri termasuk Kelantan, Menteri Besar, SUK, Pegawai Jajahan untuk terus mendaftar jumlah-jumlah baharu supaya dapat kita teruskan.

“Cuma saya syukur alhamdulillah kerana ketika kita beri tumpuan menyeluruh ini, jentera-jentera Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri nampak hampir kesemuanya setakat ini bersetuju untuk mengambil kira jumlah ini dan selesaikan ini dulu, kemudian ambil pendaftaran baharu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button