PN akan bincang kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang
CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan kedudukan bekas timbalan presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang dalam masa terdekat susulan pemecatannya daripada parti itu.
Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, perbincangan itu juga akan melibatkan seluruh Ahli Parlimen daripada blok pembangkang, lapor UM Online.
“Isu ketua pembangkang akan dibincang dalam kalangan MP (ahli Parlimen) dan PN dalam masa terdekat,” katanya.
Sebagai rekod, Hamzah adalah antara 17 pemimpin BERSATU yang dipecat daripada parti, kelmarin susulan kemelut kepimpinan antara beliau dan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain Hamzah, 16 pemimpin lagi yang dipecat termasuk tiga Ahli Parlimen iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Tuan Ibrahim seterusnya berkata, walaupun PAS mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti berkenaan, terdapat kegusaran terhadap kesatuan gabungan tersebut di mana terasnya adalah antara PAS dan BERSATU.
Katanya, tindakan pemecatan beberapa tokoh utama sesebuah parti sudah tentu memberi kesan besar dan mengambil masa untuk dipulihkan.
“Kesalahan mereka adalah kerana mendesak Presiden mengundur diri.
“Mereka dipecat kerana kesalahan tersebut, kami simpati dengan apa yang berlaku,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








