BERITA SEMASA

Blok pembangkang syorkan kerajaan tidak teruskan bacaan kali kedua RUU tempoh jawatan PM, pemisahan kuasa Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang mengesyorkan supaya kerajaan tidak meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa Peguam Negara dan RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mencadangkan kedua-dua draf akta itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu.

“Pembangkang mengharapkan RUU ini dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Kalau boleh ditarik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua Isnin ini.

“Sebaliknya, rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan membuat pindaan-pindaan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Setiausaha Agung PAS itu mendakwa, RUU bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, RUU berkenaan didakwa menyentuh serta mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri sepertimana termaktub di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43(2)(a) berbunyi Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tiada ada apa-apa syarat 10 tahun, 20 tahun, lima tahun… tidak ada. Jadi dengan membuat pindaan ini pada pandangan kami, ianya bercanggah dengan Perkara 40 prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan juga Perkara 43(2)(a) iaitu hak budi bicara untuk melantik Perdana Menteri siapa saja asal dia seorang Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Pembangkang juga menyifatkan RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat bukan satu reformasi menyeluruh, sebaliknya ia didakwa memindahkan kuasa sedia ada tanpa mewujudkan mekanisme semak dan imbang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button